Prevalens gangguan seksual Gangguan_seksual_di_Malaysia

Kes Gangguan Seksual di Malaysia (2013 - 2017)
Sumber: Statistik berdasarkan kes yang dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) [3]

Walaupun gangguan seksual dialami oleh lelaki dan wanita, wanita lebih kerap menjadi mangsa, terutama dalam masyarakat dan tempat di mana "patriarki sangat tertanam sebagai nilai budaya, dan lelaki tidak melihat gangguan seksual sebagai satu kesalahan". [4] Ini selaras dengan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari 2013 hingga 2017, di mana daripada 1,218 kes kes gangguan seksual yang dilaporkan, 79 peratus melibatkan mangsa wanita manakala 21 peratus melibatkan mangsa lelaki. [3]

Pada tahun 1987, Bahagian Wanita di bawah Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) membuat kajian pertama mengenai gangguan seksual di negara ini. Ia melaporkan bahawa antara 11 hingga 90 peratus responden wanita mengalami gangguan seksual di tempat kerja. [1] Namun, kajian ini mempunyai dua kelemahan utama, [5] dan hasil kajian tersebut dilihat sebagai "tidak meyakinkan dan tidak begitu berguna". [6]

Amat sedikit statistik rasmi yang dapat dirujuk mengenai gangguan seksual di Malaysia. [7] Bagi memahami situasi gangguan seksual dengan lebih jelas, tinjauan YouGov Omnibus telah dilancarkan pada tahun 2019. Tinjauan tersebut melibatkan 1,002 orang rakyat Malaysia, dan lebih satu pertiga atau 36 peratus wanita Malaysia mengalami gangguan seksual, berbanding satu dari enam (17 peratus) lelaki. Hanya separuh (53 peratus) daripada mangsa gangguan seksual telah melaporkan atau mengadu kepada seseorang tentang pengalaman mereka. [8] Bentuk gangguan seksual yang paling kerap dialami oleh wanita Malaysia adalah serangan seksual (59%), diikuti oleh komen lisan yang bersifat seksual (48%), tunjuk kemaluan (29%) dan gambar atau videografi seksual yang tidak diingini (20%). [7]

Gangguan seksual di tempat kerja

Gangguan seksual di tempat kerja adalah satu masalah besar di Malaysia. [9] Prevalens gangguan seksual di Malaysia telah dikaji dalam pelbagai konteks; dalam perkhidmatan awam, [10][11][12] pelbagai tempat kerja awam dan swasta seperti hospital, [13] hotel, [14] perniagaan kecil dan sederhana, [15] serta pelbagai institusi pendidikan tinggi, [16] sama ada universiti awam [17][18] dan swasta. [19] Terdapat juga sub-kumpulan dalam populasi umum Malaysia yang lebih terdedah kepada gangguan seksual, seperti remaja, [20] pelarian, [21] pekerja perkeranian, [22] kakitangan di sektor perkhidmatan (hotel), pengamal sukan, [23][24] pekerja ladang wanita, [25] LGBT [26] dan pekerja asing. [27]

Gangguan seksual dalam talian

Menurut tinjauan pada tahun 2017 yang dilakukan oleh PeopleACT, gangguan seksual dalam talian adalah jenis gangguan siber kedua tertinggi yang dialami oleh orang ramai di Malaysia. Dari 522 responden, 89 menyatakan bahawa mereka telah diganggu secara seksual dalam talian. Wanita mengalami gangguan seksual dalam talian dua kali ganda (20.9 peratus) berbanding lelaki (9.8 peratus). [28]

Pada tahun 2020, dengan penggunaan internet yang meningkat sebagai kesan sampingan dari pandemik COVID-19, All Women's Action Society Malaysia (AWAM) melaporkan banyak kejadian gangguan seksual dalam talian yang dilaporkan kepada mereka sebelum dan semasa perintah kawalan pergerakan. Kes gangguan seksual merangkumi 18.5 peratus panggilan melalui talian bantuan AWAM, dan dari kategori tersebut, gangguan seksual dalam talian menyumbang 41.7 peratus daripada kes ini. Oleh kerana semakin ramai orang menggunakan media dan komunikasi dalam talian akibat dari penjarakan sosial, ramai yang mengambil kesempatan ketanpanamaan dalam talian dan meluahkankan rasa tidak puas hati mereka melalui jenaka, komen dan dalam beberapa kes, gangguan seksual terhadap orang lain.[29]

Rujukan

WikiPedia: Gangguan_seksual_di_Malaysia http://perdanajournal.com/index.php/perdanajournal... http://www.academia.edu/download/31912555/Sexual_H... http://www.academia.edu/download/48190473/164-171_... //pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/22098774 //pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/23770869 //pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/31215454 //www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC6582586 http://www.ftms.edu.my/images/Document/MOD003059%2... http://irep.iium.edu.my/38722/1/Paper_on_Sexual_Ha... http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/6455/1/FPP_2005...